Sunday, January 5, 2014

SUKIPT 2014

Dalam perjalanan menuju ke Nami Island, tempat pengambaran Winter Sonata, sambil menikmati musim luruh di Korea...
Selamat tinggal 2013, segala kenangan takkan dilupa...

Selamat menyambut tahun baru 2014! Setelah lama tidak berblog, maka seperti biasa, azam baru pada tahun ini ialah untuk sentiasa mengemaskini blog sekurang-kurangnya sebulan sekali. Satu target yang sepatutnya mudah untuk dicapai, tetapi kadang-kadang amat sukar dipenuhi memandangkan jadual kehidupan yang sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti padat.

Seperti yang dijanjikan, Sukan IPT yang akan diadakan pada tahun 2014 masih menyenaraikan catur sebagai salah satu acara daripada 24 acara yang dipertandingkan. Pertandingan catur akan menawarkan 4 pingat emas daripada sejumlah keseluruhan 251 pingat emas. Pertandingan ini dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 9 Februari 2014 di Politeknik Shah Alam. Acara-acara lain yang menawarkan pingat emas yang lebih banyak ialah Renang (40), Olahraga (42), Judo (18), Pencak Silat (18), Karatedo (17), Taekwondo (21) dan Lawan Pedang (12). 


Sebahagian dari acara sukan beserta tarikh dan tempat kejohanan yang akan diadakan.

Setakat maklumat yang diperolehi, format kejohanan catur pada kali ini masih mengekalkan format seperti tahun 2012. Acara yang dipertandingkan ialah individu lelaki, individu perempuan, berpasukan lelaki dan berpasukan perempuan. Bagi acara berpasukan, 4 pemain dari institusi yang sama dikehendaki mendaftar bagi membentuk sebuah pasukan. Meskipun mempunyai hadiah berbeza bagi acara individu dan berpasukan, pemain individu dan berpasukan akan bermain dalam kumpulan yang sama. Mata pemain individu akan dijumlahkan untuk menentukan pemenang bagi acara berpasukan.



Pertandingan akan dijalankan mengikut sistem Swiss. Berdasarkan jumlah penyertaan tahun 2012, sebanyak 11 pusingan telah dijalankan. Kawalan masa yang ditetapkan bagi setiap pemain ialah 45 minit dengan tambahan 30 saat setiap pergerakan. Berdasarkan kawalan masa ini, setiap pemain adalah diwajibkan mencatatkan setiap pergerakan yang dijalankan di atas papan catur sehingga tamat permainan. Bagi acara pada tahun ini, terdapat peraturan baru yang berbeza dari edisi 2012 iaitu pemain dari pasukan yang sama boleh bertemu sesama sendiri melainkan dalam 2 pusingan terakhir iaitu pemain yang memiliki mata melebihi 50% dalam pusingan tersebut tidak boleh bermain dengan pemain dari pasukan yang sama. Sebarang maklumat tentang undang-undang permainan boleh dilihat di laman web SUKIPT.

Pemenang Catur individu lelaki SUKIPT 2012
Bagi edisi SUKIPT 2012, pemenang acara individu lelaki menjadi milik Ahmad Fadzil Nayan (UIA), diikuti oleh Muhammad Syazwan Zulkifli (UM) dan Looi Xin Hao (USM), sementara bagi individu wanita menjadi milik Guan Xin Ting (UPSI), Ong Choon Yong (USM) dan Lee Lee Yin (USM). Sementara bagi acara berpasukan lelaki pula, UIA menjadi penyandang juara diikuti rapat oleh UM dan UTM. Bagi berpasukan wanita, USM mendapat pingat emas diikuti dengan UIA dan UPSI. Laporan ringkas kejohanan 2012 boleh didapati di sini.

Untuk tahun ini, diharapkan pasukan-pasukan dari IPT yang lain dapat memberikan cabaran yang lebih sengit kepada pasukan-pasukan gergasi seperti UIA, UM, USM, UPSI dan UTM. Saya yakin, pasukan-pasukan ini sedang dalam persiapan untuk meneruskan penguasaan mereka dengan dibantu oleh jurulatih-jurulatih berwibawa bagi setiap IPT. Untuk UTP, hampir keseluruhan pemain adalah dari muka-muka baru, terutamanya untuk pasukan wanita yang tampil buat kali pertamanya di pentas SUKIPT.

Selamat berjuang!


Winter Sonata... Kam-saham-nida.... :)

No comments:

Post a Comment