Monday, January 19, 2015

Moga Dirimu Tenang Di Alam Sana...

Al-fatihah buat arwah Ahmad Fadzil Nayan...

18 Januari 2015, pada pagi Ahad di Kuala Lumpur yang tenang, saya menerima perkhabaran yang kurang menyenangkan tentang kesihatan Ahmad Fadzil Nayan, seorang pemain catur kebangsaan yang berasal dari Perak. Beliau yang dilaporkan berada di ICU KPJ Ipoh dalam keadaan yang kritikal, hanya mengharapkan keajaiban untuk pulih. Saya terus berdoa agar kesihatan beliau kembali pulih dan diberi kesempatan untuk saya menziarahinya sebaik sahaja saya tiba di Ipoh malam nanti. Saya cukup yakin bahawa beliau akan kembali pulih memandangkan usianya yang masih lagi muda, 27 tahun. Perak baru sahaja kehilangan Cikgu Shahrul Nizam Shahruddin pada tahun lepas yang meninggal dunia di KPJ Ipoh juga, dan harapan saya ini bukanlah kes yang kedua untuk Perak.

Namun telahan saya kali ini telah tersilap. ICU bukanlah tempat untuk mengharapkan keajaiban berlaku. Saya dimaklumkan oleh Encik Faiz Razali melalui WhatsApp bahawa Ahmad Fadzil Nayan telah meninggal dunia pada jam 9:08 malam. Begitu juga oleh Kak Ju yang telah menelefon saya. Pada ketika itu, saya baru sahaja tiba di Ipoh. 

Selepas menguruskan isteri dan anak-anak di rumah dan sempat menukar baju melayu berkopiah putih, saya bergegas untuk ke KPJ Ipoh. Setibanya saya di sana dalam jam 10:30 malam, saya terserempak dengan van mayat di belakang hospital. Sudah saya jangka, mayatnya akan dibawa pulang segera ke kampungnya. Saya bergegas menaiki lif untuk pergi ke bilik ICU. Masih tidak percaya dengan apa yang berlaku. Biarlah saya melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Saya bertemu nurse di kaunter luar untuk bertanyakan bilik Ahmad Fadhil Nayan tanpa saya menyebutkan bahawa dia telah meninggal dunia. Biarkan nurse ini sahaja yang mengesahkannya. Namun, saya diminta untuk masuk sendiri ke bilik ICU. 

Van yang membawa jenazah Ahmad Fadzil Nayan pulang ke Telok Bakong
Sebaik bilik ICU dibuka dan saya dibenarkan masuk, sekali lagi saya bertanyakan kepada nurse di dalam bilik itu, dimanakah katil Ahmad Fadzil Nayan. Nurse yang memakai penutup mulut itu terus memaklumkan bahawa Ahmad Fadzil baru sahaja meninggal dunia dan nurse itu terus membawa saya ke katilnya.

Menggeletar kaki dan tangan ini apabila melihat sekujur tubuh yang sudah dibalut dengan kain putih terlantar di atas katil. Mukanya masih belum ditutup dan saya ialah orang terakhir yang melawatnya di ICU pada malam itu, melawatnya dalam keadaan yang sudah tidak bernyawa. Wajahnya tenang, terbaring seperti sedang tidur, keletihan. 

Saya mengambil kesempatan berdoa panjang buat rakan saya yang sudah saya kenali lebih dari 10 tahun, sejak bermain catur di sekolah sehinggalah ke IPT. Banyak kenangan bersamanya yang pernah saya catatkan dalam blog ini. 

Rakan-rakan yang turut menunggu di van jenazah berbual dengan ibunya.
Ketika saya ingin keluar dari bilik ICU, saya terserempak pula dengan ibunya, kakak sulungnya, Kak Yong dan abangnya. Sekali lagi saya dibawa oleh ibunya untuk bertemu dan menyentuh wajah jenazah buat kali terakhir. Terasa hangat wajahnya, kerana baru sahaja meninggal dunia. 

Banyak yang kami bualkan tentang arwah. Berkaitan dirinya dan penyakitnya. Ibunya amat tenang dan memohon kepada saya agar dimaklumkan kepada rakan-rakannya sekiranya terdapat sebarang hutang, biarlah diselesaikan hutang itu daripadanya. Ayahnya sudahpun dibawa pulang lebih awal. Hanya tinggal kami berempat sahaja. Kami berada lama di bilik ICU sehinggalah segala urusan untuk membawanya keluar selesai. 

Jenazah di bawa masuk ke dalam van.
Kami mengekori jenazah keluar dari ICU, dibawa turun dengan lif sehinggalah masuk ke van jenazah. Di situ, saya bertemu dengan beberapa orang lagi pencatur-pencatur Perak termasuklah Amir Din, Azwan dan Ahmad Kamal Rustam. Mereka turut menolong mengangkat jenazah ke dalam van jenazah Majlis Bandaraya Ipoh. Namun, van masih tidak dibenarkan untuk keluar dari hospital selagi belum menerima borang kebenaran untuk mengebumikan jenazah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat diselesaikan. Van jenazah mula bergerak ke destinasi di Teluk Bakong pada ketika jam sudah hampir menunjukkan jam 12 malam.

Tanah Perkuburan Changkat Melintang

19 Januari 2015- Isnin tengah malam, saya yang sudah tiba di rumah masih tidak dapat tidur lena memikirkan pelbagai yang berlaku di depan mata. Selepas mengemas rumah, membersihkan diri dan solat serta membaca sedikit ayat-ayat al-Quran, barulah saya boleh baring dengan tenang. Begitu cepatnya ia berlaku dan tanpa dapat disangka-sangka. Benarlah dunia ini hanya tempat pertemuan sementara, dan akhirat jualah tempat yang kekal abadi. Cukuplah kematian sebagai peringatan.

Pagi ini saya akan cuba untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dengan melakukan solat sunat jenazah. Seperti yang sudah saya maklumkan pada ibunya, saya akan berusaha untuk ke sana sekiranya keadaan mengizinkan. Alhamdulillah, saya berjaya tiba di Masjid al-Syukuriah, Teluk Bakong lebih kurang jam 10:45 pagi, selepas sempat menghabiskan kelas di UTP pada jam 10:00 pagi. Masjid ini terletak tidak jauh daripada Hospital Changkat Melintang. Terima kasih kepada Syazwan yang sempat menjawab telefon saya bagi memaklumkan lokasi jenazah.
Solat Jenazah di Masjid al-Syukuriah

Jenazah telah bersedia untuk disolatkan. Kami berbaris dalam 3 sof yang penuh dan solat jenazah terus dilangsungkan. Selepas solat, saya sempat memerhatikan terdapat ramai juga pencatur-pencatur yang hadir: Nabil, Nik Farouqi, Kabir, Izzuddin, Wan Jeefri, Azwan dan ramai lagi. 

Jenazah sebelum dibawa keluar dari Masjid

Selesai sahaja solat, jenazah terus diusung ke dalam van untuk dibawa ke tanah perkuburan. Ibunya masih membenarkan kepada beberapa orang yang ingin melihat wajahnya buat kali terakhir untuk membuka kain kafan penutup muka. Saya turut dapat melihat Encik Sukumaran dari Persatuan Catur Perak yang turut berada di situ. Begitu juga Looi Xin Hou.


Jenazah kemudiannya terus di bawa ke tanah perkuburan yang terletak dekat dengan Masjid. Saya kira berbelas-belas biji kereta yang turut mengirinya ke tanah perkuburan Changkat Melintang. Setibanya di sana, semuanya telah tersedia, dengan lubang yang siap digali dan khemah kecil. Jenazah akhirnya telah selamat dikebumikan, alhamdulillah. Saya beredar dari tanah perkuburan, dan jam sudahpun menunjukkan jam 12:15 tengahari. 



Add caption

Selamat tinggal saudaraku, kita pasti bertemu lagi.

Allahummaghfirlahu warhamhu, wa'afihi wa'fu'anhu...

Moga dirimu tenang di alam sana....

No comments:

Post a Comment